PASIR MAS – Seorang penyeludup memecut sejauh 10 kilometer ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sarat muatan mercun dan bunga api sebelum meninggalkannya di tepi jalan di Kampung Repek di sini hari ini.
Suspek yang memandu Mitsubishi Pajero itu bertindak demikian selepas pergerakannya dikesan anggota unit kereta peronda polis (MPV) kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, anggota melihat kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan di simpang tiga Tasek Berangan menghala ke Kampung Repek semasa menjalankan rondaan.
Menurutnya, anggota MPV mengarahkan kenderaan untuk berhenti, namun pemandunya bertindak memecut sejauh 10 kilometer sebelum berhenti secara mengejut di Kampung Repek.
“Suspek dipercayai lari ke kawasan semak. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui mercun dan bunga api bernilai RM9,500,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kenderaan yang sarat muatan bahan letupan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957.-KOSMO! ONLINE