BANDAR BAHARU – Penduduk di mukim Relau di sini hidup dalam ketakutan selepas terdapat dakwaan tahanan etnik Rohingya mencuri pakaian di Taman Jawi Indah, Nibong Tebal di Pulau Pinang kelmarin.
Penduduk Kampung Tengah, Mohamad Assraf Firdaus, 30, berkata, maklumat itu diperoleh rakannya hasil maklumat penduduk di taman perumahan berkenaan semalam kira-kira pukul 6 petang.
“Kita terima maklumat ada individu disyaki etnik Rohingya mencuri baju di ampaian rumah penduduk di lorong lima perumahan tersebut.
“Perkara itu kemudian telah dimaklumkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang di sini semalam.
Jarak Depot Imigresen Sementara Relau dekat sini dengan taman perumahan berkenaan adalah kira-kira lapan kilometer.
Tambahnya, walaupun tiada lagi kejadian seperti itu berlaku di Relau, dia bersama lebih 20 penduduk lain termasuk ahli Pertubuhan Seni Silat Gayong Sundang Pusaka mempertingkatkan rondaan di kawasan kampung dan perumahan.
“Lebih 90 tahanan yang masih bebas dan kita membantu pihak berkuasa melakukan rondaan atas inisiatif sendiri bagi meredakan kebimbangan penduduk,” ujarnya.
Sementara itu, Penduduk Kampung Padang, Mat Tarmizi Ahmad, 49, yang juga Guru Latih Pertubuhan Seni Silat Gayong Sundang Pusaka berkata, rata-rata penduduk mengambil tindakan mengunci pintu rumah selain memastikan kunci tidak ditinggalkan pada kenderaan.
“Kita ronda sambil beri nasihat kepada penduduk kerana kita tidak tahu bagaimana tahanan ini akan bertindak jika terserempak dengan mereka dalam keadaan kelaparan dan terdesak untuk melarikan diri,” katanya.
Berita berkaitan: Tahanan Rohingya gugat keamanan penduduk
Berita berkaitan: 96 etnik Rohingya lolos depot imigresen masih diburu
Menurutnya, dia percaya tahanan yang masih bebas akan menghampiri kawasan perumahan untuk mencari makanan dan pakaian selain masih ada baki tahanan yang bersembunyi di sekitar Relau kerana kawasan tersebut banyak kawasan hutan berbukit.
“Namun, kita tidak menolak kemungkinan ramai yang telah terlepas ke Pulau Pinang,” jelasnya.
Tambahnya, pendekatan yang akan diambil jika terserempak dengan tahanan tersebut adalah cuba berkomunikasi dengan baik serta meminta mereka menyerahkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa.