MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menolak segala khabar angin berkenaan kemungkinan Sukan Asia ke-19 yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada September depan berpotensi untuk dibatalkan.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan perkara itu selepas pihaknya melakukan siasatan termasuklah menghubungi pihak berkaitan untuk mengetahui situasi sebenar mengenai khabar angin itu.
Jelasnya, Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadualkan 10 hingga 25 September depan akan berlangsung seperti yang dirancang walaupun dikhabarkan kes Covid-19 di negara terbabit semakin meningkat.
“Kita sudah membuat siasatan sendiri termasuk menghubungi terus penganjur dan pihak berkaitan. Mereka telah sahkan temasya itu tidak ditunda atau dibatalkan.
“Oleh itu, Sukan Asia akan berlangsung seperti biasa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma MOM, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, timbul kebimbangan apabila Sukan Asia Hangzhou 2022 di China dikatakan bakal ditangguh ke tahun depan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mencemaskan.
Kebanyakan acara sukan antarabangsa di negara itu juga ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 selain situasi Beijing terpaksa menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari lalu dengan peraturan ketat.
Shanghai yang juga bandar terbesar di China menyaksikan penularan wabak Covid-19 paling dahsyat di negara itu dalam tempoh dua tahun menyebabkan 25 juta penduduknya berkurung di rumah selama berminggu-minggu susulan sekatan dikenakan ke atas mereka.
Kesemua 56 venue pertandingan itu siap dibina dengan China selaku penganjur juga berjanji merancang pelan kawalan virus berpandukan Sukan Olimpik Musim Sejuk lalu. – KOSMO! ONLINE