PETALING JAYA – Dugaan Ramadan, pelakon jelita Anna Jobling terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital swasta di ibu negara ekoran dijangkiti demam denggi.
Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman bagaimanapun memaklumkan, dirinya kini dalam keadaan yang stabil dan dipantau doktor bertugas dari semasa ke semasa.
“Saya minta doakan yang terbaik agar segera sembuh demam denggi ini. Buat masa sekarang, saya masih dirawat di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur dan keadaan baik-baik sahaja dan dipantau doktor.
“Saya mulai rasa tak sedap badan (demam) sejak tiga hari hari lalu apabila naik ruam merah di seluruh badan dan suhu badan pun tinggi daripada kebiasaan.
“Kelmarin buat ujian keputusannya negatif tapi semalam buat sekali lagi, positif. Terus saya dimasukkan ke hospital,” katanya kepada Kosmo! Online.
Anna, 22, yang juga merupakan bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 berharap agar keadaan kesihatannya kembali pulih seperti biasa terutama menjelang Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
“Dugaan bulan Ramadan. Saya berharap keadaan kesihatan kembali pulih sebab sama seperti orang lain, saya juga tak sabar nak menyambut hari raya bersama keluarga tersayang,” ujarnya lagi.
Mengulas tentang perkembangan karier terkini, Anna sedang sibuk menjalani penggambaran dama Melur Untuk Firdaus yang akan ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.
Drama berkenaan menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE