SASARAN lima pingat emas, tujuh perak dan tujuh gangsa daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam bulan depan adalah realistik dan mampu dicapai barisan atlet negara.
Malah, ia adalah sasaran yang sepatutnya dicapai oleh skuad olahraga negara biarpun turun ke Hanoi tanpa tiga pemenang emas edisi terdahulu seperti Lee Hup Wei, Muhammad Hakimi Ismail dan Yap Sean Yee.
Ia berdasarkan potensi dan prestasi ditunjukkan oleh 38 atlet terpilih dalam dalam kategori A dan B pada saingan sukan olahraga yang akan berlangsung di Stadium Nasional My Dinh dari 14 hingga 19 Mei depan.
Ruangan Fakta Sukan Kosmo! minggu ini menyenaraikan lapan atlet yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk menaiki podium sebagai pemenang pingat emas dalam acara sukan ‘lubuk emas’ tersebut.
Tarikh lahir: 11 Januari 1988
Acara: 110m lari berpagar
Catatan terbaik: 13.67s
PEMEGANG rekod kebangsaan ini mahu merampas semula pingat emas selepas dia sekadar meraih tempat kedua pada edisi tiga tahun lalu di Manila, Filipina.
Jika berjaya, ia bakal menjadi penutup paling manis buat pemenang dua pingat emas dan empat perak ini yang akan mengumumkan persaraan secara rasmi selepas tamat Sukan SEA kali ini.
JACKIE WONG SIEW CHEER
Tarikh lahir: 7 April 1992
Acara: Baling tukul besi
Catatan terbaik: 68.22m
BERDASARKAN rekod peribadi terbaik, Jackie mempunyai potensi untuk memecahkan rekod Sukan SEA yang dipegang seterunya dari Thailand, Kittipong Boonmawan dengan catatan 67.56m.
Edisi kali ini bakal menyaksikan pertembungan menarik antara kedua-dua atlet itu dengan Jackie menyasarkan untuk merampas semula pingat emas yang terlepas daripada genggamannya di Manila tiga tahun lalu.
Tidak mustahil juga Jackie mampu mengukir nama selaku atlet pertama dari rantau Asia Tenggara berjaya membuat balingan mengatasi jarak 70 meter.
NAURAJ SINGH RANDHAWA
Tarikh lahir: 27 Januari 1992
Acara: Lompat tinggi
Catatan terbaik: 2.3m
OLIMPIAN negara ini pastinya mahu menebus kekecewaan meraih tempat kedua selepas tewas di tangan Lee Hup Wei tiga tahun lalu sekali gus menafikan peluangnya untuk muncul juara buat kali keempat berturut-turut.
Persaraan Hup Wei kini meletakkan Nauraj kembali berada pada landasan terbaik untuk melakukannya dan tidak mustahil memenanginya dengan rekod baharu Sukan SEA.
Untuk info, Nauraj, Hup Wei dan seorang lagi bekas atlet lompat tinggi negara, Loo Kum Zee adalah pemegang rekod bersama Sukan SEA dengan catatan 2.24 meter.
MUHAMMAD IRFAN SHAMSUDDIN
Tarikh lahir: 16 Ogos 1995
Acara: Lempar cakera
Catatan terbaik: 62.55m
BIARPUN belum menemui sentuhan terbaiknya sejak membuat lemparan sejauh 62.55 meter lima tahun lalu tetapi kemampuan Irfan di rantau Asia Tenggara masih tiada tandingan.
Catatan terbaiknya tahun ini iaitu 58.63m masih lagi belum mampu dipintas oleh mana-mana atlet dari Asia Tenggara sekali gus memberikan gambaran cerah untuk dia memenangi pingat emas buat kali kelima berturut-turut.
RUSSEL ALEXANDER NASIR TAIB
Tarikh lahir: 5 April 1998
Acara: 100m, 200m, 4x100m
Catatan terbaik: 10.42s (100m), 20.77s (200m)
PELARI pecut negara yang berpangkalan di Australia ini menjadi sandaran utama buat kontinjen Malaysia untuk mempertahankan pingat emas 100m dimenangi dalam dua edisi terdahulu pada 2017 dan 2019.
Pemegang rekod 200m kebangsaan ini juga berpeluang menyamai pencapaian yang pernah dilakar Nazmizan Muhammad sewaktu 2003 jika berjaya memenangi pingat emas berganda dalam acara 100m dan 200m pada edisi kali ini.
ZAIDATUL HUSNIAH ZULKIFLI
Tarikh lahir: 20 Ogos 1993
Acara: 100m, 200m, 4x100m
Catatan terbaik: 11.59s (100m), 23.64s (200m)
KECEDERAAN Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya pada 2020 sedikit sebanyak menjejaskan persiapan ratu pecut ini yang terpaksa menghabiskan banyak masa melakukan proses pemulihan.
Keazaman yang tinggi menyaksikan Zaidatul kini kembali ke tahap sebenarnya dalam usaha meraih pingat emas pertama dalam kariernya di pentas Sukan SEA sejak mula mengambil bahagian pada 2015.
Pencapaian Sukan SEA terbaik daripada atlet yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 ini ialah pingat perak 100m dan 200m sewaktu edisi 2017.
ANDRE ANURA ANUAR
Tarikh lahir: 12 Jun 1999
Acara: Lompat jauh, lompat kijang
Catatan terbaik: 8.02m (lompat jauh), 16.09m (lompat kijang)
BINTANG Sabah ini tewas dengan jarak 0.01m sahaja kepada jaguh Asia dari Indonesia, Sapwaturrahman sewaktu final acara lompat jauh pada Sukan SEA Manila 2019.
Andre juga bakal menjadi sandaran negara dalam acara lompat kijang selepas ketiadaan jaguh Asia Tenggara, Muhammad Hakimi Ismail yang tidak mengambil bahagian kerana belum pulih daripada kecederaan pergelangan kaki.
NORLIYANA KAMARUDDIN
Tarikh lahir: 26 Mac 1991
Acara: Heptatlon
Catatan terbaik: 5,247 mata
NORLIYANA pernah mencipta sensasi apabila memadam rekod heptatlon kebangsaan berusia 36 tahun milik Datuk Zaiton Othman sewaktu kali pertama bertanding dalam acara itu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Kecemerlangan itu diteruskan pada edisi seterusnya di Manila dengan kejayaan memenangi pingat perak selepas tewas kepada atlet Filipina, Sarah Dequinan yang masih memegang status sebagai pilihan utama di Hanoi kali ini.