JOHOR BAHRU – Tiga remaja maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka berlanggar sesama sendiri di Jalan Delima, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, tiga mangsa tercampak atas jalan dan terlanggar batu di bahu kiri jalan manakala seorang lagi mangsa terjatuh di bahu kanan jalan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, nahas melibatkan tiga buah motosikal yang ditunggang mangsa berusia 15 hingga 17 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa bersaing sesama sendiri sehingga bergesel dan berlaku kemalangan.
“Akibatnya, tiga mangsa tercampak atas jalan manakala seorang lagi jatuh di batu di bahu kanan jalan. Mangsa yang maut berusia 15 dan 16 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai terutamanya ibu bapa diingatkan agar memantau pergerakan anak-anak terutamanya yang di bawah umur dengan tidak membenarkan mereka terlibat aktiviti lumba haram,” katanya.- KOSMO! ONLINE