GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di sebuah apartmen di Jelutong di sini petang semalam.
Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta di bawah perumahan tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami pendarahan pada bahagian kepala selepas terjatuh dari salah sebuah bilik di kediaman yang disewanya bersama seorang rakan warga tempatan.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti motif sebenar kejadian termasuk mengesan rakan serumahnya yang berusia 54 tahun.
“Si mati ditemui dalam keadaan berdarah pada kepala dan rantai diikat pada kaki kiri. Pemeriksaan lanjut di dalam bilik dipercayai tempat si mati terjun juga didapati tiada sebarang kesan pergelutan.
“Menurut seorang saksi yang juga penghantar makanan kepada si mati, hari ini (petang semalam) dia sempat berjumpa dengan salah seorang rakan lelaki itu pada pukul 5 petang,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian pada lewat malam tadi.
Soffian memberitahu lagi, siasatan awal polis mendapati si mati dan rakannya itu datang dari Melaka dan mula menyewa kediaman tersebut sejak 13 April lalu.
“Dia (si mati) juga masuk ke negeri ini menggunakan laluan laut dari Dumai di Riau, Indonesia pada 23 Mac lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenar kehadiran mereka ke sini termasuk motif kematiannya sama ada terjun mahupun sebaliknya. Usaha mengesan rakan itu sedang giat dijalankan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk dibedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE