JOHOR BAHRU – Saksi kejadian kemalangan yang meragut tiga nyawa penunggang dan pembonceng motosikal ngeri melihat tumpahan darah dan cebisan daging mangsa di lokasi kejadian di Taman Kota Masai, di sini malam semalam.
Menurut saksi dan rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Apit, 16, kejadian itu berlaku semasa dua kumpulan motosikal dipercayai sedang berlumba di jalan berkenaan.
“Motosikal mereka bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan. Semasa kejadian banyak motosikal yang terlibat tetapi mereka lari selepas kemalangan tersebut.
“Saya lihat tiga mangsa termasuk rakan saya nazak manakala seorang lagi kritikal,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 10.30 malam itu meragut tiga nyawa.
Beliau berkata, mangsa berusia 15 hingga 17 tahun bergesel sesama sendiri dan menyebabkan berlaku kemalangan.
Polis menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih di bawah umur supaya tidak membenarkan mereka menunggang motosikal dan terlibat aktiviti lumba haram. – KOSMO! ONLINE