LONDON – Seorang lelaki yang kudung kedua-dua kaki berjaya mendaki gunung tertinggi di Britain dengan cara merangkak menuju ke puncak, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Paul Ellis menawan puncak Gunung Ben Nevis pada ketinggian 1,345 meter menggunakan kedua-dua tangan dan lututnya.
Meskipun tangan dan lututnya menjadi sangat bengkak akibat pendakian itu, Ellis berpuas hati kerana berjaya menyahut cabaran ekstrem tersebut.
“Ini adalah satu cabaran yang sangat sukar. Lutut dan belakang saya sangat sakit akibat daripada pendakian ini.
“Namun, saya terima cabaran ini untuk menarik perhatian orang ramai supaya menderma kepada Amp Camp iaitu sebuah badan kebajikan yang membantu golongan kurang upaya (OKU) terutamanya OKU kudung,” katanya.
Ellis berjaya meraih kutipan dana AS$5,000 (RM21,535) untuk tabung AMP yang akan digunakan untuk membiayai percutian golongan kurang bernasib baik seperti dirinya. – Agensi