PETALING JAYA – Hujan lebat, ribut petir serta angin kencang dijangka berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor melibatkan beberapa daerah pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman Facebook sebentar tadi memaklumkan, antara kawasan terlibat di Kedah adalah Yan dan Kuala Muda serta keseluruhan negeri Pulau Pinang.
Selain itu, bagi negeri Perak pula, keadaan cuaca buruk yang sama dilihat tertumpu sekitar Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang.
Tambah MetMalaysia, hujan lebat serta ribut petir juga diramal melanda negeri Pahang melibatkan daerah Pekan dan Rompin.
“Manakala di Selangor, antara kawasan yang mengalami cuaca tidak menentu pagi ini adalah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
“Keadaan tersebut dijangka berlarutan sehingga pukul 10 pagi nanti,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE