PADANG BESAR – Permintaan dan jualan mangga harumanis premium musim ini mencatat permintaan tinggi terutama menerusi penjualan secara online.
Pengerusi Koperasi Pengusaha Harumanis Y.A, Mohd. Asri Yusoff berkata, pengeluaran harumanis di bawah koperasinya merekodkan penjualan secara dalam talian sehingga 70 peratus.
“Daripada rekod jualan dicatatkan pada pertengahan April baru-baru ini, hanya 30 peratus daripada kira-kira 25 tan metrik hasil pertanian itu dijual secara fizikal kepada pemborong.
“Pada tahun ini, buah harumanis gred premium mendapat permintaan tinggi dan kami di sini kekurangan bekalan gred tersebut,” katanya ketika ditemui di pusat pemprosesan mangga harumanis Y.A. di Chuping di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri memberitahu, harumanis premium yang dijual secara online mencecah RM45 sekilogram termasuk kos penghantaran.
“Buah gred premium yang dipasarkan mengikut empat spesifikasi ditetapkan iaitu berat melebihi 400 gram, mempunyai bentuk atau varieti harumanis, kecacatan kulit kurang 10 peratus dan memenuhi indeks kematangan.
“Bagi gred lain pula termasuk sub gred, permintaan dan bekalan hasil pertanian ini boleh dikatakan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga mangga harumanis, Mohd. Rozam Hasan, 38, berkata, dia lebih menumpukan ke arah pemasaran dalam talian atau serahan terus kepada pelanggan di sekitar Kedah dan Perlis.
“Saya berniaga di tepi jalan sebelum bulan puasa dan ketika bulan Ramadan memang saya menumpukan ke arah jualan dalam talian atau tempahan awal seminggu untuk dihantar terus ke rumah pelanggan,” katanya.