fbpx

Harimau Selatan lega raih satu mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG JDT, Bergson Da Silva cuba melepasi pemain pertahanan Kawasaki Frontale pada aksi ACL di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. – RAJA JAAFAR ALI

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menarik nafas lega setelah anak-anak buahnya berjaya meraih satu mata pada perlawanan sukar berdepan kelab gergasi Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang berkesudahan tanpa jari­ngan malam kelmarin.

Menurut Mora, perlawanan bertambah sukar apabila skuad Harimau Selatan perlu mengekalkan tahap kecergasan di tahap tinggi dalam perlawanan berintensiti tinggi bagi mematikan segala serangan bertali arus yang dilancarkan juara Liga 1 Jepun itu.

Katanya, barisan pertahanan ditunjangi Shane Lowry dan Shahrul Saad menjadi tulang belakang pasukan apabila berjaya memastikan skuad kendalian Toru Oniki tidak sewenang-wenangnya memasuki zon bahaya dan mendapatkan peluang untuk mencipta jaringan.

“Perlawanan itu adalah satu perlawanan yang sangat sukar, Kawasaki Frontale bermain sa­ngat tersusun dan mempamerkan taktikal yang jitu. Mereka juga sangat teknikal dan bijak mengatur serangan, ini memaksakan JDT mengubah formasi dengan bermain lebih kompak dan bertahan.

“Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan kami yang memberikan persembahan mengagumkan setelah bertahan dengan sangat efisien, menutup ruang buat pasukan lawan, melakukan asakan serta mengeluarkan bola dari zon bahaya.

“Walaupun kami tidak ba­nyak memegang bola seperti kebiasaannya, namun kejayaan mencuri satu mata pada perlawanan ini sangat penting dan satu mata itu amat berharga buat kami,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Keputusan perlawanan yang berakhir tanpa jaringan itu memastikan kedudukan JDT sebagai pendahulu Kumpulan I ACL tidak terjejas dengan mengutip tujuh mata menerusi tiga perlawanan, dua mata di hadapan Kawasaki Frontale.

Mora memberitahu, faktor keletihan antara punca jentera serangan Harimau Selatan kurang menyengat bahkan pemain sayap, Arif Aiman Hanapi yang menjadi nadi pasukan tidak berjaya mencipta gerakan dan dikawal ketat pertahanan lawan.

Katanya, penggiliran pemain menjadi satu kemestian buat ketika ini setelah mengharungi ja­dual perlawanan yang padat bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada di tahap yang terbaik.

“Pemain kita berlari lebih banyak berbanding mereka, jadi tidak hairanlah banyak pertukaran dilakukan agar pemain utama direhatkan selain memberi ruang kepada pemain simpanan beraksi. Saya percaya kami akan dapat beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI