fbpx

Gabenor Arizona isytihar darurat bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEBAKARAN hutan bawah tanah itu meliputi kawasan seluas 20,000 ekar berhampiran Flagstaff, Arizona. - CNN

FLAGSTAFF, ARIZONA – Gabenor Arizona, Doug Ducey kelmarin mengisytiharkan darurat bencana di Daerah Coconino County selepas kawasan hutan seluas 20,000 ekar (8,093.7 hektar) terbakar, lapor stesen penyiaran CNN.

Kebakaran yang bermula di utara bandar Flagstaff, Ahad lalu itu berjaya dikawal daripada merebak, demikian menurut laman web kebakaran hutan InciWeb.

Menurut beberapa pegawai, sekurang-kurangnya 24 bangunan musnah dan beratus-ratus penduduk yang tinggal berhampiran Flagstaff diarah berpindah.

Pengisytiharan darurat membolehkan kerajaan negeri menyediakan sumber yang diperlukan kepada komuniti yang terjejas dan ‘bertindak balas serta pulih’ daripada bencana kebakaran,’’ kata Ducey dalam satu sidang akhbar.

“Memandangkan angin kencang menyebabkan kebakaran merebak di serata Arizona, kami sedang melakukan apa yang terdaya untuk memastikan penduduk negeri ini selamat,” ujarnya.

Beliau seterusnya menggesa penduduk supaya mematuhi arahan pegawai bomba dan bertindak balas terhadap notis perpindahan.

“Kami akan terus memantau keadaan dan menggunakan sumber tambahan jika perlu,’’ jelas Ducey. 

Pengerusi Lembaga Penyelia Daerah Coconino, Patrice Horstman berkata, dianggarkan seramai 2,068 penduduk telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara.

“Jumlah itu termasuk penghuni 766 buah rumah dan lebih 1,000 haiwan,’’ kata Horstman.

Pasukan bomba telah menumpukan usaha menyelamat kepada penghuni rumah, bangunan dan kawasan tadahan air.

“Usaha memadamkan kebakaran di tempat kejadian disertai 179 anggota bomba, 20 kru pembersihan hutan, empat jentolak, 21 jentera bomba, dua pesawat, sebuah helikopter Type 3 dan dua helikopter Type 1,’’ lapor InciWeb.

Tambah laman web berkenaan, punca kebakaran masih dalam siasatan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI