PETALING JAYA – Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza disenarai hitam dan dilarang untuk ke luar negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin, 45, menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Katanya, dia dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen bahawa sekatan tersebut merupakan arahan daripada Polis Diraya Malaysia (PDRM).
“Aku dah kena blacklist (senarai hitam) dan dilarang ke luar negara. Semalam aku baru dapat tahu, nama aku dalam senarai ‘blacklist’ imigresen.
“Aku disekat dari renew (memperbaharui) pasport, dan disekat dari ke luar negara. Jabatan Imigresen kata sekatan dari Bukit Aman/PDRM,” katanya di sini hari ini.
Fahmi Reza berkata, dia kini sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan daripada Bukit Aman sebelum penerbangannya ke Eropah yang dijadualkan selepas raya nanti.
Terdahulu, Fahmi Reza ditahan pihak polis selepas memuat naik satira monyet memakai tengkolok. – KOSMO! ONLINE