SELEPAS hampir dua tahun tidak dapat beraya di kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19, sambutan Aidilifitri tahun ini sememangnya dinantikan oleh semua.
Sebelum ini, masing-masing melaram baju raya dalam rumah dan sambut raya raya secara maya sahaja.
Lebih menggembirakan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan ahlinya mengeluarkan wang sehingga RM10,000 menerusi Pengeluaran Khas.
Ia umpama kegembiraan berganda buat rakyat yang kebanyakannya sebelum ini dihimpit pelbagai masalah ketika pandemik.
Bagi penjawat awam pula, mereka turut mendapat imbuhan duit raya. Pastinya dengan kebenaran rentas negeri, Pengeluaran Khas KWSP, bantuan khas menjadikan sambutan Aidilfitri pada tahun ini ‘luar biasa’ meriah.
Dijangkakan jalan raya dan lebuh raya utama akan sesak bermula pada 30 April ini apabila perantau mula bergerak pulang ke kampung masing-masing bagi meraikan Syawal bersama ahli keluarga tersayang.
Mengikut statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kira-kira 14 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara untuk pulang ke kampung tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri pada bulan depan.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, berdasarkan trend semasa, sebanyak 4.7 juta kenderaan sehari dijangka berada di atas 32 lebuh raya di seluruh negara untuk pulang ke kampung masing-masing.
Beliau berkata, ekoran jangkaan pertambahan kenderaan itu, JSPT mengatur gerak seramai 6,559 pegawai dan anggota trafik di peringkat kontinjen dan daerah bagi menjaga keselamatan trafik.
Penulis yakin keadaan sama juga akan berlaku di semua negeri kerana tahun ini merupakan masa untuk ‘membalas dendam’ buat perantauan yang tidak dapat balik beraya pada tahun 2020 dan 2021.
Selain kenderaan persendirian, ramai juga perantauan yang akan pulang dengan pengangkutan awam seperti bas, kereta api dan kapal terbang.
Menurut Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) pihaknya menyediakan kira-kira 300,000 bas untuk perjalanan ke seluruh destinasi di Semenanjung sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Yang Dipertua Pembawa, Laili Ismail berkata, daripada jumlah itu, hampir 80 peratus tiket sudah terjual sejak mula dibuka pada awal Ramadan lalu.
Menurut Laili, antara destinasi yang mendapat permintaan tinggi adalah Kota Bharu dan Johor Bahru.
Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula menyediakan kira-kira 100,000 tiket bagi perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Intercity sempena Aildilfitri ini.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha berkata, jualan tiket itu membabitkan 32 perkhidmatan ETS serta 22 perkhidmatan KTM Intercity.
Beliau berkata, sehingga 7 April lalu, hampir 40 peratus tiket telah terjual bagi perjalanan pada 23 April hingga 8 Mei dan tiket perjalanan 29 April hingga 1 Mei bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar.
Dalam kita mahu beraya sakan, penulis ingin berpesan supaya kita semua jangan alpa dengan prosedur operasi standard (SOP) kerana kita masih belum menang dalam melawan virus Covid-19.