MUNICH – Bayern Munich akan ditabalkan sebagai juara Bundesliga buat kali ke-10 berturut-turut jika menewaskan Borussia Dortmund dalam pertembungan Der Klassiker di Allianz Arena awal pagi esok.
Jika berjaya, kejuaraan sah menjadi milik The Bavarians kerana mempunyai kelebihan 12 mata ke atas Dortmund di tangga kedua memandangkan saingan musim ini berbaki tiga perlawanan sahaja lagi.
Ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann mengakui, barisan pemainnya sudah tidak sabar untuk menghadapi pertembungan hangat itu di hadapan lebih 75,000 penyokong di laman sendiri.
“Ramai pemain dalam pasukan ini sudah biasa memenangi kejuaraan liga, jadi ia bukan satu perkara baharu. Saya percaya mereka sudah bersedia untuk berdepan aksi ‘final’ ini.
“Saya sudah boleh bayangkan bagaimana pasukan akan meraikan kejayaan. Namun, sekarang fokus saya mahu tamatkan tugasan ini dahulu dan pastikan kejuaraan ini menjadi milik kami,” katanya.
Jika berjaya menewaskan Dortmund, ia bakal menjadi kejuaraan Bundesliga yang pertama dalam karier Nagelsmann selepas berhijrah daripada RB Leipzig awal musim ini.
Dalam masa sama, pengendali berusia 34 tahun itu enggan memandang rendah kemampuan Dortmund yang akan turun tanpa ramai pemain utama antaranya penjaga gol No.1, Gregor Kobel, Axel Witsel, Mats Hummels, Thomas Meunier, Thorgan Hazard dan Giovanni Reyna.
“Dortmund masih memiliki beberapa pemain versatil yang boleh bermain di pelbagai posisi. Sebab itu mereka adalah salah satu pasukan terbaik di Jerman dan juga Eropah,” jelas Nagelsmann. –AGENSI