fbpx

Bau busuk rungkai penemuan mayat warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat warga emas yang ditemui sudah meninggal dunia dipercayai lebih dua hari di Kampung Baru Sri Dangi, Gemencheh, di sini, petang semalam dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat. - FOTO: IHSAN PEMBACA

TAMPIN – Bau busuk dihidu seorang wanita membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas di sebuah rumah di Kampung Baru Sri Dangi, Gemencheh, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab, polis menerima maklumat sekitar pukul 1.10 petang dan sebaik sampai ke tempat kejadian didapati terdapat seorang lelaki terbaring di ruang tamu dipercayai telah meninggal dunia dan keadaan mayat telah berbau.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas mayat didapati tiada unsur jenayah dan pemeriksaan di sekeliling rumah juga tiada unsur-unsur jenayah.

“Pasukan paramedik telah membuat pemeriksaan ke atas warga emas berusia 69 tahun berkenaan dan dipercayai telah meninggal dunia lebih dua hari berdasarkan keadaan mayat.

“Hasil siasatan warga emas berkenaan tinggal seorang diri susulan sudah kematian isteri serta anak-anaknya juga tiada di rumah ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anuwal berkata, mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat hari ini.

“Mangsa mempunyai rekod sakit jantung dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI