KUALA SELANGOR – Tindakan 40 individu termasuk remaja yang berhimpun dan menyaksikan aksi lincah mat rempit di Padang Astaka, Tanjong Karang di sini, memakan diri apabila ditahan, semalam.
Kesemua mereka yang berusia 15 hingga 27 tahun itu ditahan dalam operasi Cegah Samseng Jalanan bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, operasi itu dilakukan ekoran aduan penduduk setempat yang kerap terganggu dengan bunyi bising motosikal pada waktu malam.
“Hasil operasi sehingga 2 pagi tadi itu membawa kepada penahanan seramai 40 lelaki dan menyita 38 motosikal untuk tindakan lanjut.
“Sebanyak 112 saman dikeluarkan antaranya kesalahan tiada lesen memandu, ubah suai ekzos dan tiada cukai jalan atau perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan puluhan remaja ditahan di sekitar pekan Tanjong Karang dan menolak motosikal masing-masing di tepi jalan utama dengan dikawal anggota polis. – KOSMO! ONLINE