PETALING JAYA – Kira-kira 210,000 pengunjung membeli-belah di bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur dalam masa dua minggu sejak 9 April lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, jumlah kunjungan paling tertinggi direkodkan pada Ahad, 17 April lalu iaitu 21,600 orang.
“Hari ini (semalam) orang ramai membanjiri lagi kawasan ini (Jalan TAR) untuk mencari barang-barang dan persiapan perayaan Aidilfitri meskipun sudah lewat malam.
“Kita menjangkakan bilangan pengunjung akan bertambah pada akhir minggu ini,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook semalam.
Mahadi mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka bagi mengekang jangkitan Covid-19.
Jelas beliau, selain Polis Diraja Malaysia, lokasi tersebut turut dipantau agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia bagi memastikan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan pengunjung supaya menggunakan pengangkutan awam seperti tren atau bas bagi memudahkan pergerakan termasuk mencari tempat letak kenderaan.
“Saya berharap agar kelancaran bazar dapat berjalan dengan baik serta memuaskan hati pengunjung dan juga peniaga di sini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.