SLIM RIVER – Satu kemalangan melibatkan lima buah kenderaan dengan dua daripadanya terbalik berlaku di Kilometer (KM) 357, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini malam semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.53 malam.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan kereta Proton Perdana dinaiki empat orang, kenderaan utiliti sukan jenis Honda HRV (lima), Proton Wira (dua) dan masing-masing satu mangsa menaiki kereta Perodua Bezza dan Audi.
“Dua yang terbalik adalah kereta Perodua Bezza dan Proton Wira.
“Kesemua mangsa seramai 13 orang mengalami cedera ringan dan telah keluar dari kenderaan dengan bantuan orang ramai,” ujar jurucakap itu.
Mangsa yang menaiki kereta Perodua Bezza dan Proton Wira telah diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan.
Mangsa yang lain pula telah diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan sama manakala operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12 40 malam. – KOSMO! ONLINE