fbpx

Zaidy, Hazel penerus legasi Dem Lepakz Boyz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEM LEPAKZ BOYZ

SELEPAS hampir setahun memenangi tempat kedua dalam program nyanyian All Together Now Malaysia (ATNM) musim pertama, duo bertenaga dan penuh dinamik, Dem Lepakz Boyz (DLB) muncul dengan single perdana berjudul Abang Datang.

Sebelum ini, kehadiran DLB yang dianggotai Zaidy dan Hazel pada awalnya hanya dikenali sebagai kumpulan penari.

Menerusi lagu Abang Datang yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment menjadikan portfolio DLB berkembang dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, sejak menjadi naib juara ATNM, ramai yang membuka mata terhadap bakat kami. Dengan peluncuran single pertama ini, kami berharap semua terhibur.

“Teruskan menyokong DLB dan show us some love kerana masih banyak yang kami mahu persembahkan buat rakyat Malaysia,” kata Hazel.

Single introduksi kumpulan itu diterapkan dengan genre hip-hop berserta elemen ‘trap’ yang mendapat sentuhan barisan komposer disegani iaitu Omar K, Iqie Hugh dan John Jeeves.

DEM Lepakz Boyz merupakan nama yang diberikan anggota kumpulan terdahulu. Kini tugas tersebut diserahkan kepada Zaidy (kiri) dan Hazel untuk menyambung legasi nama kumpulan mereka.

“Rocketfuel Entertainment pada mulanya ada memberitahu kami tentang lagu baharu yang telah disiapkan. Mereka mahu kami menyanyikannya.

“Kami agak terperanjat sebab semuanya berlaku secara mengejut tetapi anggap tawaran yang datang sebagai rezeki. Sebelum masuk studio, kami mengadakan sesi ‘brainstorming’ terlebih dahulu demi mencari melodi yang sesuai dengan cita rasa,” jelas Hazel lagi.

Abang Datang merupakan lagu berkisar tentang individu yang dipandang remeh oleh masyarakat, namun menyelit mesej kepada pendengar untuk bangkit dan menepis pandangan negatif.

“Apa yang kami cuba sampaikan menerusi Abang Datang adalah untuk mengingatkan kepada semua bahawa kita mampu menghadapi sebarang masalah dan menjadi lebih kuat dari sebelumnya,” tambah Zaidy.

Langkah mula

Sekadar informasi bagi yang belum mengenali profil DLB, kumpulan itu sebenarnya sudah pun aktif sejak hampir sedekad yang lalu.

Ketika itu kata Hazel, mereka pernah menjuarai sebuah program pertandingan urban berkumpulan iaitu Showdown pada 2012.

JIKA dahulu, DLB sinonim dengan bidang tarian. Tetapi waktu berputar, mereka kini mengembangkan karier dengan menceburi dunia nyanyian menerusi peluncuran single sulung, Abang Datang.

“Pada awalnya, DLB dianggotai senior kami dalam bidang tarian. Kemudian pada tahun lalu, kami bercadang menyambung legasi kumpulan ini dalam bidang nyanyian pula.

“Selepas menghantar video uji bakat ke program ATNM, kami terpilih menjadi peserta sehinggalah nasib menyebelahi dan berjaya membawa pulang gelaran naib juara.

“Siapa sangka, permulaan yang hanya suka-suka akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Lagu Abang Datang boleh dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman seperti Apple Music, Spotify, JOOX, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Sementara video muzik rasmi lagu berkenaan boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran YouTube Rocketfuel Network.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI