LONDON – Penganjur kejohanan bertaraf Grand Slam, Kejuaraan Wimbledon telah mengesahkan atlet kelahiran Rusia dan Belarus diharamkan untuk menyertai saingan tennis berprestij itu pada tahun ini yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan ekoran Perang Russia-Ukraine yang masih belum berakhir.
Keputusan itu dibuat susulan tindakan Rusia yang melancarkan peperangan ke atas Ukraine sejak Februari lepas dengan Belarus dilaporkan menyokong tindakan negara tersebut.
Situasi tersebut sekali gus menyaksikan Wimbledon mengharamkan atlet buat kali pertama sejak era Perang Dunia Kedua sewaktu tidak membenarkan kehadiran pemain kelahiran Jerman dan Jepun hadir ke kejohanan tenis tertua itu.
Menurut kenyataan Persatuan Tenis Seluruh England (AELTC), keputusan itu terpaksa dibuat tanpa sebarang kompromi sekali gus serius untuk memastikan tiada pengaruh Rusia boleh disebarkan pada kejohanan yang dilangsungkan di gelanggang rumput itu nanti.
“Pihak kami akui sukar untuk membuat keputusan ini kerana ia adalah hak individu tetapi inilah lumrah yang perlu mereka terima atas sikap serta kekejaman pemimpin Rusia yang melakukan serangan tanpa perikemanusiaan ke atas Ukraine,” kata pengerusi AELTC, Ian Hewitt.
Antara pemain-pemain berpengaruh yang tidak dibenarkan beraksi pada kejohanan itu nanti adalah atlet lelaki No.2 dunia, Daniil Medvedev dan pemain wanita No.4 dunia, Aryna Sabalenka dari negara Belarus.
Bagaimanapun, Persatuan Tenis Lelaki Antarabangsa (ATP), Persatuan Tenis Wanita Antarabangsa (WTA) serta bekas legenda tenis Republik Czech, Martina Navratilova mengecam tindakan yang dilakukan oleh AELTC itu kerana dianggap tidak adil. – AGENSI