fbpx

Waspada penjualan al-Quran secara online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

ISNIN lalu, seorang peniaga online didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Tumpat atas dua pertuduhan memiliki 916 naskhah al-Quran yang tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Lelaki berusia 30 tahun itu dicekup KDN selepas menjual al-Quran jenis Al Mumayyaz dan An Nur melalui platform dan aplikasi terkenal di negara ini.

Semakan menerusi aplikasi itu, peniaga tersebut dipercayai telah menjual dua jenis al-Quran tersebut lebih 4,300 naskhah.

Ada juga peniaga lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang turut menjual al-Quran jenis sama.

Melihat kepada situasi berke­naan, ia menunjukkan bahawa penjualan dua jenis al-Quran yang dibawa masuk dari Indonesia itu meluas, malah mendapat permintaan tinggi dalam kala­ngan umat Islam negara ini.

Pengarah Negeri Kelantan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Muhammad Afiq Abu Hasan berkata, al-Quran Al Mumayyaz dan An Nur adalah dua jenis al-Quran yang tiada perakuan kelulusan Lembaga Pe­ngawalan dan Pelesenan Pen­cetakan al-Quran KDN.

Katanya, al-Quran yang di­bawa masuk ke negara ini dari Indonesia itu tidak melalui sistem tapisan KDN.

“Kesalahan besar adalah ayat al-Quran yang dieja dalam tulisan rumi atau bahasa Melayu, sekali gus bertentangan dengan arahan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 yang mengharamkan ejaan ayat suci dibuat dalam bukan huruf arab.

“Ramai yang membeli al-Quran dengan ejaan tulisan rumi adalah untuk memudahkan me­reka membaca ayat suci, namun niat itu tidak menghalalkan cara mereka.

“Semasa pemantauan dijalankan, kita tidak menafikan bahawa banyak premis menjual al-Quran ini. Sekiranya ada dijual secara fizikal di premis, kita akan terus membuat rampasan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, bagi peniaga yang menjual al-Quran secara online, kebanyakan mereka tidak mendedahkan identiti.

Katanya, KDN akan membuat tindakan undang-undang mengikut Seksyen 7(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 terhadap mana-mana peniaga atau individu yang menjual al-Quran Al Mumayyaz dan An Nur.

“Dalam tempoh tiga tahun, dua individu telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan dua jenis al-Quran ini. Dalam dua pendakwaan itu, sebanyak lebih 20,000 naskhah al-Quran Al Mumayyaz dan An Nur dirampas sebelum dilupuskan.

“Meskipun baru dua pendakwaan, kes melibatkan penjualan al-Quran tanpa kelulusan KDN di Kelantan lebih serius berbanding negeri lain ekoran jumlah rampasan yang banyak,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam KDN Kelantan, Muzalman Haslan Mustafa berkata, penggunaan bahasa Melayu bagi menggantikan bahasa arab pada al-Quran menyebabkan ia sudah terpesong daripada sifat asalnya.

“Pembacaan al-Quran menggunakan bahasa rumi atau Melayu menjadikan bacaan ayat suci lari daripada makhrajnya (mengeluarkan suara pada huruf al-Quran).

“Tidak semua huruf al-Quran dapat diterjemahkan dalam ba­hasa-bahasa lain selain arab. Jadi, bacaannya sudah tentu akan salah dan ia boleh menye­babkan umat Islam mendapat dosa,” katanya.

Muzalman Haslan menyarankan umat Islam negara ini berguru dengan guru agama untuk membaca al-Quran dengan betul dan tidak mengambil langkah mudah membaca ayat suci menggunakan ejaan bahasa Melayu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI