fbpx

Tiga lelaki bermain meriam karbaid didenda RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat tertuduh, (dari kiri) remaja berusia 17 tahun, Muhammad Shahrul Izzuan, Muhammad Nawar dan Abd. Rahman ketika hadir ke Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam, Seberang Perai hari ini. Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Dua lelaki masing-masing didenda RM100 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas kesalahan menyalakan meriam karbaid pada 7 April lalu, manakala seorang lagi didenda RM100 kerana merakam dan menularkan perbuatan itu di media sosial.

Tertuduh, Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruzaman, 28, dan Muhammad Nawar Md. Shariff, 28, bersama seorang lagi remaja bawah umur sebelum itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyalakan meriam karbaid yang diletakkan di dalam paip PVC bertujuan menembak mercun ke udara.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Rawa di hadapan Kedai Makan Pokok Nyok di Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 11 malam pada 7 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sebulan atau denda RM100 atau kedua-duanya.

Tertuduh berusia 17 tahun bagaimanapun dibenarkan diikat jamin oleh ibu bapa atau penjaga sebanyak RM1,000 sementara menunggu laporan akhlak bagi sebutan semula kes pada 26 Mei depan.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh Abd. Rahman Noorudin, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja memviralkan video cara bermain mercun jenis meriam karbaid di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan hari yang sama.

Abd. Rahman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.

Difahamkan kesemua tertuduh membayar denda berkenaan sejurus prosiding selesai.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan polis memburu beberapa individu yang dipercayai bermain meriam karbaid sambil menghalakan paip PVC ke arah jalan raya di Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam di sini.

Kejadian itu tular di laman sosial selepas video berdurasi 2 minit 20 saat memaparkan aktiviti berkenaan dikongsi pengguna di aplikasi Twitter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI