fbpx

Sawit dijangka kekal tinggi sepanjang tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL RAHMAN (berdiri dua dari kiri) diiringi Mat Roni (berdiri kanan) menyampaikan sumbangan kepada peserta Felcra Berhad Sungai Temau di Lipis semalam.

LIPIS – Felcra Berhad menjangkakan harga sawit sepanjang tahun ini akan terus kekal tinggi memberikan hasil yang baik sekali gus dapat memberikan manfaat besar kepada kira-kira 120,000 keluarga peserta Felcra di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, trend kenaikan harga sawit itu juga menyaksikan peserta Felcra akan mendapat ‘durian runtuh’ khususnya dalam pengagihan dividen menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Saya tidak boleh cakap lagi sebab dividen ini akan diumumkan Menteri pada Ahad ini di Sandakan, saya percaya dividen ini akan memberi kegembiraan kepada peserta Felcra.

“Berdasarkan maklumat pembayaran dividen setakat ini pun sudah mencecah RM6,000 telah dibayar kepada setiap peserta dan keseluruhan akan diumum Menteri sebab ada tambahan lagi,”katanya pada majlis iftar warga Felcra Berhad Sungai Temau di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Wan Mohamed.

Menurut Abdul Rahman kenaikan harga komoditi sawit yang pernah mencecah sehingga RM1,800 setan memberikan impak besar kepada hasil dan pemberian dividen kepada peserta Felcra.

Katanya selain itu tadbir urus dan pengurusan yang baik oleh Felcra menyebabkan peningkatan hasil sawit serta pelbagai usaha dilakukan kerajaan juga dapat memastikan harga sawit berada paras yang tinggi.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak RM24.78 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan Felcra Wilayah Pahang dalam usaha memperkasakan kira-kira 24,000 keluarga peserta Felcra di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah geran itu jumlah tertinggi diagihkan bagi pembangunan kawasan tanam semula sawit sebanyak RM8.4 juta dan pembangunan kawasan tanam baharu sawit sebanyak RM8.1 juta.

“Selain itu kita akan melaksanakan lagi pelbagai program seperti pembinaan jalan ladang sebanyak RM4.3 juta, program jalan kampung (RM2 juta, program ameniti sosial seperti padang bola sepak dan pelbagai lagi program.

“Peruntukan pada tahun yang terus meningkat itu akan digunakan sebaik mungkin bagi memberi manfaat kepada peserta-peserta Felcra di seluruh negeri,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI