JEMPOL – Seorang buruh berjaya ditangkap polis dalam satu serbuan di Pot Janda Enon di kawasan kebun kelapa sawit Felda Pasoh 3, di sini, sempena Ops Tapis Khas Se-malaysia Bilangan 3 2022, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kira-kira 7.35 pagi, polis telah menjalankan tugas ops Sarang di lokasi tersebut dan menangkap lelaki berusia 46 tahun berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut telah menemui tiga peket plastik pelbagai saiz berisi ketulan disyaki dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 104 gram dan satu paket plastik lutsinar yang di dalamnya terdapat tiga peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan jernih bahan disyaki dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat tiga gram.
“Susulan tangkapan ini, polis telah menyita sebuah motorsikal Jenis Yamaha Lagenda 115 dan ujian urin yang dilaksanakan ke atas lelaki tersebut didapati positif dadah jenis MOP serta memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Chang Hook berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di sebuah rumah di Felda Pasoh 2 kerana memiliki satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah berbahaya jenis heroin seberat 6.50 gram.
“Suspek positif dadah jenis MOP dalam ujian urin yang dijalankan dan memiliki tujuh rekod lampau membabitkan najis dadah,” katanya.-KOSMO! ONLINE