SETIU – Kumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mencerap imej matahari di Balai Cerap Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Merang di sini hari ini.
Felo ESERI, Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, imej matahari itu dicerap pada pukul 9.08 pagi.
“Cerapan tersebut berjaya menemukan imej beberapa tompok yang aktif pada permukaan matahari berkenaan.
“Tompok matahari merupakan lokasi aktif yang dikaitkan dengan medan magnetik matahari dalam unit fluks yang sentiasa berubah-ubah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Roslan menjelaskan permukaan yang mempunyai banyak tompok matahari merupakan sumber asal kepada suar matahari.
Penyelidik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA itu berkata, saiz tompok matahari bergantung kepada suar matahari.
“Semakin besar suar, semakin besar tompok dapat dilihat di sesuatu permukaan matahari.
“Suhu di kawasan tompok matahari adalah 3,700 darjah celsius dan lebih sejuk berbanding permukaan matahari yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE