fbpx

Penjaja terlepas tali gantung kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ching Hin (kiri) mengucapkan terima kasih kepada Leong Kim di Mahkamah Tinggi Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang penjaja terlepas hukuman gantung sampai mati selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis heroin enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Maidzuara Mohamed memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh, Lee Ching Hin, 42, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata, tertuduh telah memberi keterangan bersumpah yang rapi dengan dibantu dua saksi selepas diperintah untuk membela diri di akhir kes pendakwaan pada 28 Oktober 2021.

Ujarnya lagi, mahkamah mendapati pihak polis tidak menangkap tertuduh di dalam kereta dan tiada keterangan bagaimana beg sandang berisi dadah itu berada di dalam kereta di tempat duduk hadapan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah heroin seberat 91.3 gram pada pukul 1.45 tengah hari di tempat letak kenderaan di 124-K, Jalan Mahindasa, Taman Bukit Serindit, Bukit Serindit, pada 23 September 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 2.3 gram dadah monoacetylmorphines pada masa, tarikh dan di tempat sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau boleh didenda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad memanggil 11 saksi, manakala pembelaan diwakili tiga saksi termasuk tertuduh.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI