LONDON – Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel menjadikan faktor padang di Stamford Bridge menjadi punca kekalahan ketiga berturut-turut dialami mereka di gelanggang sendiri selepas tunduk 2-4 kepada Arsenal awal pagi semalam.
Dua gol daripada Eddie Nketiah dan satu daripada Emile Smith Rowe serta Bukayo Saka memastikan peluang The Gunners untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan kembali terbuka apabila berkongsi 57 mata dengan Tottenham Hotspurs.
Tewas tiga kali berturut-turut di laman sendiri adalah pengalaman pertama buat The Blues sejak musim 1993/94 dan episod malang tuan rumah pada perlawanan ini bermula selepas Andreas Christensen melakukan kesilapan memberi ruang kepada Nketiah membuka jaringan.
“Dia (Christensen) berkata yang dia tidak mampu meneruskan perlawanan dan saya fikir dia mungkin berdepan masalah. Saya tidak akan keluarkan pemain hanya kerana dia melakukan satu kesilapan,” kata Tuchel merujuk kepada keputusannya untuk menggantikan Christensen.
Dalam pada itu, Tuchel mengakui bahawa masalah padang menyebabkan para pemainnya berdepan kesukaran biarpun alasan berkenaan kelihatan tidak masuk akal.
“Untuk mengatakan padang menyukarkan kami bermain, mungkin seakan satu alasan tetapi itulah yang kami hadapi. Bola melantun dengan cara agak pelik dan nyata ia tidak berpihak kepada kami.
“Tetapi, kami masih melakukan kesilapan sama seperti kekalahan di tangan Real Madrid. Ia bukan tentang individu tetapi prestasi ketika bertahan dan menyerang,” jelas Tuchel. – AGENSI