PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited meningkatkan kapasiti operasi harian termasuk Sabtu dan Ahad bagi mempercepatkan proses kelulusan kuota pekerja asing.
Kementerian tersebut berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan keperluan mendesak industri terhadap guna tenaga asing dapat dipenuhi dengan kadar segera.
“Malah, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 April 2022 telah bersetuju agar KSM menubuhkan satu One Stop Centre (OSC) Khas bagi menyegerakan proses kelulusan permohonan pekerja warga asing.
“Bagi memenuhi aspirasi Mesyuarat Jemaah Menteri tersebut, satu OSC Khas yang telah mula beroperasi pada 18 April 2022 di mana kapasiti harian pemprosesan permohonan telah ditingkatkan dan masa operasi turut dipanjangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyebut, pihak KSM memahami bahawa isu pekerja asing ini adalah amat kritikal.
“Semua majikan diingatkan agar mengemukakan permohonan secara dalam talian dengan lengkap dan disertai semua dokumen berkaitan.
“Para majikan yang mana permohonan mereka telah ditolak sebelum ini boleh mengemukakan semula permohonan untuk diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.- KOSMO! ONLINE