fbpx

KKM sedia saluran pemberian dos penggalak bagi yang memerlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak empat saluran utama pemberian dos penggalak kedua disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Ia termasuk menerusi sistem janji temu MySejahtera, pemberian vaksin di hospital, hadir terus secara walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) dan program outreach di pusat jagaan warga emas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, warga emas yang memenuhi kriteria dos penggalak kedua akan mula menerima pautan tempahan di aplikasi MySejahtera secara berperingkat mulai hari ini.

Beliau berkata, bagi pemberian vaksin di hospital pula, individu yang sedang dalam rawatan di hospital kerajaan atau swasta yang telah beroperasi sebagai PPV, boleh diberikan dos penggalak kedua secara opportunistik.

“Warga emas juga boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus di PPV yang masih beroperasi.

“Pusat jagaan warga emas juga boleh membuat permohonan bagi mendapat dos penggalak kedua di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagi pelaksanaan pemberian dos tambahan kepada remaja yang berisiko tinggi pula, Khairy Jamaluddin berkata, tiga saluran pemberian vaksin disediakan.

“Individu yang sedang dalam rawatan di hospital kerajaan, hospital swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta, klinik kesihatan dengan pakar yang telah menjadi PPV, boleh diberikan dos tambahan secara opportunistik di fasiliti kesihatan itu.

“Bagi fasiliti kesihatan yang tidak beroperasi sebagai PPV, pakar yang merawat perlu melaksanakan Pre-Vaccination Assessment (PVA) dan seterusnya merujuk ke hospital kerajaan, hospital swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta atau klinik kesihatan dengan pakar yang beroperasi sebagai PPV.

“Manakala, bagi remaja yang layak tetapi tidak ditawarkan dos tambahan pula, mereka boleh dibawa berjumpa pakar perubatan yang merawat untuk menjalani PVA dan seterusnya dirujuk ke hospital kerajaan, hospital swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta atau klinik kesihatan dengan pakar yang beroperasi sebagai PPV,” katanya.

Dalam pada itu, bagi pemberian dos penggalak kedua untuk individu 18 tahun yang ingin keluar negara pula, Khairy Jamaluddin berkata, mereka boleh hadir secara walk-in ke PPV yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan (seperti bukti tiket penerbangan atau dokumen perjalanan).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI