MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa beliau tidak perlu terlalu kerap untuk mengingatkan para pemainnya mengenai betapa pentingnya baki saingan musim ini kerana percaya mereka sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan.
Kemenangan 3-0 ke atas Brighton di Etihad awal pagi semalam kembali meletakkan The Citizens di puncak Liga Perdana Inggeris dengan mengumpul 77 mata, namun ketika ini masih terus ditekan hebat oleh Liverpool yang hanya dipisahkan dengan satu mata.
“Untuk menjadi juara, kami perlu memenangi semua baki perlawanan. Tidak perlu untuk saya terlalu kerap memberitahu kepada pemain kerana mereka juga tahu apa yang harus dilalukan setiap kali turun beraksi.
“Kami sedang bersaing dengan salah satu pasukan terbaik. Peluang kami kini bergantung kepada faktor keletihan dan kecederaan,” katanya.
Tiga gol City hadir menerusi Riyad Mahrez, Phil Foden dan Bernardo Silva yang menghadiahkan kemenangan ke-250 buat Guardiola dalam 344 perlawanan dilaluinya di semua pertandingan bersama pasukan tersebut.
Ia adalah pencapaian terpantas yang mampu dilakukan di saingan tertinggi, namun Guardiola kekal fokus dengan apa yang bakal dihadapinya memandangkan City juga sedang dihimpit dengan masalah kecederaan.
Ketika ini, City berdepan isu kecederaan apabila dua pemain pertahanan mereka, Nathan Ake mengalami masalah buku lali, manakala John Stones pula cedera pada bahagian otot. – AGENSI