SEBERANG PERAI – Pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung pada musim perayaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, selain JPJ dan agensi penguat kuasa lain, orang awam turut dipelawa untuk menjadi ‘mata-mata’ atau pengintip kepada agensi berkenaan.
Katanya,, orang ramai boleh membuat aduan secara terus melalui portal e-aduan@JPJ atau [email protected] jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan.
“Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat atau mengesan kesalahan jalan raya diminta supaya membuat aduan dan merakam kesalahan tersebut sama ada melalui gambar atau video dan memuat naik ke dalam laman portal atau emel tersebut.
“Tindakan akan diambil antara tempoh 48 hingga 72 jam selepas aduan itu diterima,” katanya selepas meninjau Operasi Khas Bersepadu bersama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Plaza Tol Juru di sini malam tadi.
Beliau memberitahu, secara keseluruhannya, seramai 2,200 anggota penguatkuasa JPJ termasuk 220 di Pulau Pinang akan ditugaskan untuk membuat pemantauan perjalanan balik kampung.
Lima kesalahan utama yang menjadi fokus semasa pemantauan iaitu memotong garisan berkembar, membawa kenderaan di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit, melanggar lampu isyarat dan memotong barisan.
“Sebanyak 15 buah lokasi ‘hotspot’ telah dikenal pasti di seluruh negara manakala untuk Pulau Pinang pula, lokasi ‘hotspot’ pemantauan di sekitar lebuh raya termasuk Butterworth-Kulim Expressway dan berhampiran Jambatan Pulau Pinang,” katanya.-KOSMO! ONLINE