fbpx

Jakim sebagai pusat rujukan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di PICC di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Semua kementerian dan agensi-agensi wajar menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai pusat rujukan untuk melaksanakan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memelihara kemaslahatan merupakan manifestasi kesejahteraan yang merupakan inti pati dalam objektif pensyariatan Islam dan sentiasa disebutkan sebagai pendekatan Maqasid Syariah.

“Dalam satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada September lalu, saya telah menyatakan bahawa Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar dalam membentuk sesebuah negara adil, sejahtera dan harmoni.

“Hari ini pula, kita diperjelaskan tentang pendekatan Maqasid Syariah dalam tadbir urus Keluarga Malaysia. Dengan mengambil kira Islam sebagai agama persekutuan, saya berharap setiap kementerian dan agensi dapat menzahirkan prinsip pemeliharaan maslahah dalam setiap dasar yang digubal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dan timbalannya, Datuk Aad Marzuk Shaary.

Ismail Sabri berkata, prinsip pemeliharaan itu menekankan perkara-perkara universal, sesuai untuk seluruh ahli Keluarga Malaysia yang dambakan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum serta penganut pelbagai agama.

“Ia tidak mengehadkan amalan dan kepercayaan agama lain, tetapi ia menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita,” jelas beliau.

Tambah Ismail Sabri, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jakim dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana menghasilkan Buku Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera.

“Buku ini menekankan aspek tadbir urus yang holistik dan mampan berasaskan syariat Islam dalam memelihara hubungan Keluarga Malaysia selain memandu pembuat dasar untuk memperkukuh kesejahteraan melalui penyampaian perkhidmatan yang diberikan.

“Justeru, wajar sekali Jakim dijadikan pusat rujukan oleh semua kementerian dan agensi untuk melaksanakan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah,”ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI