fbpx

Iktibar daripada kisah negara-negara muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN apabila rakyat Sri Lanka melakukan protes di sekitar Colombo baru-baru ini ekoran krisis ekonomi yang berlaku di negara itu.

PADA minggu lalu, kerajaan Sri Lanka memberi gambaran negara tersebut telah muflis ekoran kegagalan Colombo membayar hutang luar negaranya mencecah AS$51 bilion (RM215.7 bilion).

Sri Lanka mempunyai kira-kira AS$6 bilion (RM25.37 bilion) hutang luar negara yang perlu dibayar pada tahun ini. Sementara itu, rizab boleh gunanya merosot kepada AS$150 juta (RM634.2 juta).

Menurut penganalisis, negara itu berdepan masalah kekurangan mata wang asing sehingga menyebabkannya tidak dapat mengimport barangan keperluan. Ia diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 hingga menjejaskan sektor pelancongan negara di Asia Selatan itu.

Ini menyebabkan rizab pertukaran asingnya susut 16 peratus kepada AS$1.93 bilion (RM8.21 bilion) pada Mac lalu. Sejak itu, amaran telah diberikan kemungkinan ketidakmampuan negara itu membayar hutang kerana kekurangan pendapatan.

“Kami telah kehilangan keupayaan untuk membayar balik hutang asing. Ia sampai ke tahap pembayaran hutang adalah mencabar dan mustahil.

“Kami perlu memberi tumpuan kepada import penting dan tidak perlu bimbang membayar hutang luar,” kata Gabenor Bank Pusat (CBSL), Dr. Nandalal Weerasinghe pada taklimat media baru-baru ini.

Secara mudahnya, sesebuah negara itu dianggap muflis atau bankrap apabila gagal membayar semula hutang luaran mereka. Namun, hakikatnya, negara diisytiharkan muflis atau disifatkan muflis ini boleh bangkit kembali menerusi beberapa langkah proaktif yang boleh diambil kerajaan.

Malah, sejarah membuktikan beberapa negara berjaya bangkit selepas diisytiharkan bankrap disebabkan kebijaksanaan pemimpin mereka.

PASUKAN keselamatan terpaksa mengawal di luar National Bank of Greece ketika krisis ekonomi di negara tersebut pada tahun 2010.

Misalnya, ekonomi Greece yang diisytiharkan muflis kembali bangkit selepas lapan tahun menerusi beberapa program dirancang oleh Kesatuan Eropah bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Untuk rekod, Greece diisytiharkan muflis pada tahun 2009 ekoran krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi ekoran peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi penganjuran Sukan Olimpik 2004.

Menurut penganalisis, hutang negara Eropah itu mencecah AS$402 bilion (RM1.7 trillion) atau 180 peratus daripada nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK), peningkatan sebanyak 71 peratus sebelum krisis bermula.

Selepas lapan tahun dibelenggu hutang, Greece akhirnya kembali menyertai ekonomi dunia menerusi beberapa program penyelamatan ekonomi yang berakhir pada Julai 2018.

Sepanjang tempoh itu, antara usaha dilakukan kerajaan Greece adalah pelaksanaan Mekanisme Kestabilan Eropah (ESM) bagi menyokong usaha mereformasi ekonomi dan memberi modal kepada bank-bank tempatan.

Negara itu juga membuat pinjaman kecemasan pada 2010 sebanyak AS$21 bilion (RM90 bilion) daripada beberapa negara Eropah dan IMF. Ekoran itu, Greece terpaksa melakukan penjimatan awam selama berdekad.

“Greece kini kembali menjadi negara biasa. Kami akan mendapatkan kembali kedaulatan politik dan ekonomi selepas berakhirnya program bailout mencecah AS$305 billion (RM1.2 trillion).

“Menerusi perjanjian hutang ini, Greece kembali membuka lembaran baharu menerusi program penjimatan perbelanjaan,” ujar Perdana Menteri, Alexis Tsipras di Athens pada Julai, 2018.

Mata wang Krona jatuh teruk ketika krisis berlaku di Iceland.

Bagaimanapun, pengumuman itu tidak sedikit pun memberi rasa gembira kepada warga Greece kerana negara itu masih perlu meneruskan program penjimatan awam dalam tempoh lama.

Para pemiutang Greece seperti Suruhanjaya Eropah, Bank Pusat Eropah dan IMF memaksa kerajaan menaikkan cukai, mengurangkan pencen, faedah kebajikan sosial dan pelaburan awam lain.

Kadar pengangguran pula meningkat kepada 20 peratus berbanding 12 peratus ketika krisis bermula.

Kebanyakan penganggur daripada golongan berumur di bawah 35 tahun.

“Pengumuman berakhirnya krisis ini bagi kami golongan muda tidak ubah seperti plasebo (tidak bernilai). Ia satu pengumuman retorik yang tidak membawa sebarang makna.

“Ini kerana, kami akan terus hidup dalam keadaan yang ditentukan menerusi perjanjian bailout serta penjimatan awam,” ujar seorang penganggur muda, Eleni Polydorou.

Hasil daripada langkah kurang popular itu, ekonomi Greece kini kembali berkembang pada kadar perlahan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun 25 peratus lebih rendah sebelum krisis melanda.

Berbeza pula kisahnya dengan Iceland yang berjaya bangkit daripada muflis dan kejatuhan politik secara serentak disebabkan dasar pemimpinnya. Pemulihan ekonomi negara kecil Eropah yang muflis pada tahun 2008 itu didorong oleh ledakan pelancongannya.

Pelancongan menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Iceland selepas letusan gunung berapi Eyjafjallajökull pada 2010. Pada 2016, jumlah kehadiran pelancong mencecah 1.5 juta orang.

Pada 2017, KDNK Iceland bernilai AS$24.49 bilion (RM104 bilion). Memandangkan negara berkenaan memiliki populasi 343,400 orang, pendapatan perkapitanya lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat (AS).

Menurut data Thomson Reuters, Iceland mengambil langkah menasionalisasikan tiga bank terbesarnya, Kaupthing Bank, Landsbanki dan Glitnir Bank pada 2008 selepas gagal membayar hutang asing berjumlah AS$62 billion (RM264 bilion).

KEJATUHAN mata wang Krona berjaya menarik kehadiran ramai pelancong asing, sekali gus menjadikan ekonomi Iceland kembali pulih.

Kejatuhan tiga bank itu menyebabkan pelabur asing keluar dari Iceland, nilai mata wang Krona jatuh teruk, pasaran saham jatuh 95 peratus, ada perniagaan muflis, harga hartanah jatuh dan kos gadai janji meningkat dua kali ganda.

Krisis tersebut bermula apabila bank-bank utama Iceland berjaya memikat pendeposit dari Belanda dan United Kingdom dengan menawarkan kadar faedah sebanyak 15 peratus.

Kadar faedah mampu ditawarkan memandangkan nilai Krona sangat tinggi ketika itu.

Menjelang 2006, bank-bank berkenaan menggunakan wang pendeposit sebanyak AS$100 billion (RM435 bilion) melabur dalam syarikat asing, hartanah dan pasukan bola sepak. Disebabkan krisis kewangan global 2008, bank-bank itu muflis disebabkan kehabisan wang.

Menurut pakar ekonomi dari AS, Kimberly Amadeo, kerajaan Iceland gagal menyelamatkan bank-bank terbabit disebabkan tidak mempunyai wang, sekali gus meruntuhkan ekonomi.

“Ekoran itu, Perdana Menteri ketika itu, Geir Haarde telah berunding dengan IMF bagi meminjam AS$2.1 billion (RM8.9 bilion) untuk memastikan ekonominya terus bertahan.

“Keadaan ekonomi tidak menentu itu menyebabkan kerajaan tumbang pada Januari 2009. Geir Haarde telah meletak jawatan akibat kanser serta penunjuk perasaan turun ke jalanan,” imbaunya.

Disebabkan itu, satu pilihan raya telah diadakan dengan para pengundi memilih Johanna Sigurdardottir dan gabungannya sebagai kerajaan.

Selepas menjadi Perdana Menteri, Sigurdardottir mengambil tindakan drastik termasuk menghalang wang negara dilaburkan ke seberang laut, menaikan kadar cukai, memberi pelepasan hutang kepada pemegang gadai janji, selain melarang rakyatnya membeli mata wang atau saham asing.

“Tindakan itu menyebabkan orang ramai mula melabur dalam perniagaan tempatan termasuk hartanah dan ekuiti persendirian. Kejatuhan teruk Krona juga berjaya menarik kehadiran pelancong asing, sekali gus memulihkan kembali ekonomi Iceland,” jelasnya.

Bagaimanapun, terdapat negara yang masih merasai kesan muflis selama lebih dua dekad meskipun pelbagai usaha dan dasar telah diambil untuk mengatasinya.

Salah satu negara tersebut ialah Argentina yang pernah diisytiharkan bankrap pada 2001 dengan mencatatkan hutang terbesar dalam sejarah dengan nilai AS$145 bilion (RM616 bilion). Kadar pengangguran pula mencecah 46.1 peratus.

RAKYAT Argentina turun ke jalan raya bagi mengutuk amalan rasuah dalam kalangan pemimpinnya.

Ekonomi negara Amerika Selatan itu terjerumus dalam krisis ekoran dasar pemerintah negara terbabit menambat mata wang Peso kepada Dollar AS di luar kawalan hutang awam serta gejala rasuah berleluasa.

Keadaan diburukkan lagi dengan rusuhan di jalanan serta ketidakstabilan politik sehingga menyaksikan Presiden, Fernando de la Rua melarikan diri menggunakan helikopter.

Bermula Januari 2005, Argentina memulakan langkah penstrukturan hutangnya dengan merangka perjanjian pembayaran balik melalui Perbadanan New York menerusi kawalan undang-undang AS.

Malangnya, Argentina beberapa kali gagal membayar hutangnya mengikut jumlah dan tempoh ditetapkan.

Terbaharu pada 22 Mei 2020, Argentina gagal membayar AS$500 juta (RM2.1 bilion) pada tarikh tamat tempoh kepada pemiutangnya.

Presiden, Alberto Fernández baru-baru ini berkata, negaranya berjaya mencapai perjanjian mengstruktur semula hutang dengan IMF sebanyak AS$44.5 bilion (RM185 bilion).

“Kami mengalami masalah dan kini kami mempunyai penyelesaian. Kami dapat kembali mengakses pembiayaan baharu selepas perjanjian ini berlaku,” ujar beliau pada Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI