PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan pautan cabutan bertuah palsu kononnya anjuran Petronas yang disebar melalui aplikasi WhatsApp.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya mengesan satu pautan dikongsi melalui WhatsApp yang mana jika ditekan akan membawa pengguna ke ‘phishing website’.
Menurutnya, pautan yang dikongsi adalah https://thursdaystagnation.top/petronas-qf/tb.php?oiesclfi1650589983456.
“Hasil siasatan mendapati pautan tersebut kelihatan seperti laman web cabutan bertuah dianjurkan Petronas.
“Pengguna akan diminta untuk menjawab empat soalan kaji selidik ringkas dipercayai direka bertujuan mendapatkan data pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, sejurus selesai menjawab soalan, pengguna dikehendaki menghantar pautan terbabit kepada 20 orang yang lain.
“Semakan mendapati laman web tersebut adalah palsu dan tiada sebarang kaitan dengan dengan Petronas.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayari laman web tersebut kerana dipercayai mengandungi trojan/malware yang boleh membahayakan data tersimpan di peranti milik pengguna,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE