fbpx

Dua tersepit kemalangan tiga lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan tiga lori di Batu 4, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.

TELUK INTAN – Dua mangsa cedera akibat tersepit dalam kemalangan melibatkan tiga buah lori di Batu 4, Jalan Changkat Jong dekat sini pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.31 pagi.

Katanya, operasi menyelamatkan mangsa telah dilakukan oleh sepasukan anggota yang dihantar dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.

“Kemalangan melibatkan lori Daihatsu enam tan yang membawa muatan kelapa sawit, lori Nissan UD17 membawa ais dan sebuah lori Toyota Diana tiada muatan.

“Seramai lima mangsa terlibat tetapi cuma dua yang cedera kerana tersepit iaitu masing-masing pada lori Toyota Diana dan Nissan UD17 manakala yang lain luka kecil,” ujarnya.

Anggota bomba telah bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas manakala mangsa-mangsa lain berjaya keluar sendiri.

Kesemua mangsa termasuk yang cedera kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan dan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI