BANGKOK – Seorang doktor di Thailand memberi amaran kepada masyarakat agar tidak mengumpul atau menyimpan kaset ujian pantas antigen (RTK) atas sebab apa sekali pun, lapor laman berita Coconuts News.
Menurut Pakpoom Dechhatsadin, kaset RTK dikategorikan sebagai sampah perubatan dan perlu dilupuskan dengan teliti.
“Saya melihat semakin ramai mengikuti trend mengumpul kaset RTK dan menyimpannya dalam bingkai gambar. Ingin diingatkan, kaset RTK negatif bukan satu trofi.
“Meskipun ia adalah kaset ujian negatif, masih terdapat sisa bakteria dan virus yang digunakan pada alat tersebut. Jadi jangan simpan kaset ujian RTK anda,” tegasnya.
Tambah Pakpoom, kaset RTK yang disimpan juga merupakan sumber jangkitan, bukan sahaja virus Covid-18 tetapi pelbagai jenis jangkitan lain yang tidak diketahui.
“Anggap sahaja kaset RTK yang menunjukkan keputusan negatif sebagai negatif palsu dan berkemungkinan positif serta mempunyai virus Covid-19,” tegas Pakpoom. – Agensi