REMBAU – Seorang ibu tunggal tabah menempuh kesukaran hidup dalam membesarkan sembilan anak berusia antara 10 hingga 25 tahun selepas pemergian suaminya, dua tahun lalu.
Siti Zauyah Zakariah, 48, berkata, dia juga menjaga dua anak buahnya berusia tiga dan tujuh tahun yang mempunyai masalah kesihatan akibat lahir tidak cukup bulan setelah kematian adik perempuan bongsunya, dua tahun lalu.
Menurutnya, selepas pemergian suami, Mohd. Helmi Ismail, yang ketika itu berusia 54 tahun akibat strok, dia terpaksa menumpang di rumah kakaknya di Taman Kota Indah di sini.
“Semasa suami sakit, saya pindah ke rumah keluarga suami di Pahang. Ketika tu, suami sudah tidak boleh bekerja, manakala saya pula hanya tukang pembersihan.
“Keadaan hidup yang sukar menyebabkan saya terpaksa menyerahkan dua anak kepada adik-beradik suaminya untuk dijaga,” katanya ketika ditemui di Taman Kota Indah di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Siti Zauyah menerima bantuan daripada Pertubuhan Komuniti Amal Wanita Anak Negeri.
Siti Zauyah memberitahu, selepas suaminya tiada lagi, dia terpaksa memberhentikan anaknya belajar di Maktab Rendah Sains Mara kerana tidak mampu menampung kos serta menguruskan perjalanan pergi dan pulang anaknya ke sekolah berkenaan.
Ujarnya, walaupun keadaan sukar, anak pertama serta ketiga kini sedang belajar di universiti awam dengan salah seorangnya menerima biasiswa universiti, manakala seorang lagi mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
“Anak kedua pula berkorban dalam pelajaran dengan bekerja.
“Anak keempat masih menuntut di matrikulasi dan dua lagi bersekolah di sekolah berasrama penuh di Selangor, manakala selebihnya bersekolah di sekolah harian,” ujarnya.
Menurutnya, dia sememangnya tidak dapat bekerja kerana sibuk menguruskan anak-anak serta anak arwah adik yang mempunyai masalah kesihatan.
“Selepas kematian suami, dua anak saya yang rapat dengan ayah mereka mengalami kemurungan dan dirawat di Hospital Temerloh,” katanya.
Menurutnya, dia kini hanya bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 sebulan dan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun CIMB 7024-0372-59 atas nama Siti Zauyah Zakariah. -KOSMO! ONLINE