PELUMBA berbakat negara, Syarifuddin Azman menerima peluang keemasan apabila akan beraksi dalam dua perlumbaan bagi kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) atas tiket wildcard di Grand Prix (GP) Portugal dan Jerez nanti.
Syarifuddin atau dikenali sebagai ‘Damok’ akan menyertai pasukan Rivacold Snipers Team bagi menggantikan tempat Alberto Surra selepas terpaksa diketepikan susulan kecederaan serius ketika bersaing di GP Americas pada 11 April lalu.
Justeru, Damok melontar keyakinannya dan enggan mensia-sia peluang terhidang untuk melakukan terbaik bagi mengutip mata di pentas Moto3 tersebut.
“Pastinya saya sangat teruja kerana diberi peluang untuk beraksi atas tiket wildcard sekali lagi di kelas Moto3. Sasaran saya adalah untuk memburu mata dan lakukan terbaik berbanding aksi pertama saya di Aragon tahun lalu.
“Saya akui sewaktu di Aragon saya sedikit gugup dan lakukan banyak kesilapan terutama pada sesi kelayakan. Jadi, saya mahu atasi perkara tersebut menjelang perlumbaan di Portugal pada hujung minggu ini,” katanya.
Ini adalah kali kedua Damok diberi peluang menyertai kelas Moto3 selepas menggantikan pelumba Petronas Sprinta Racing Team, John McPhee di GP Aragon, tahun lalu.
Ketika itu, Damok menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 sekali gus mengumpul tiga mata berharga pada penampilan sulungnya di MotoGP.
Seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril turut menerima berita baik apabila akan menyertai perlumbaan Red Bull Rookies Cup dan mahu memberi tentangan di kelompok hadapan.
“Ini adalah peluang terbaik dalam karier saya, jadi saya enggan mensia-siakan peluang ini. Tentangan perlumbaan di Red Bull Rookies Cup sengit dan saya harap mampu lakukan dengan cemerlang.
“Apa pun, saya akan buat lakukan terbaik minggu pertama ini dan pastinya podium adalah impian saya. Saya akan tingkatkan tunganggang saya dari minggu ke minggu di perlumbaan tersebut,” katanya.
Perlumbaan pembukaan Red Bull Rookies Cup akan bermula pada 23 dan 24 April nanti di Portimao, Portugal dan selepas itu di Jerez, Sepanyol pada 30 April hingga 1 Mei.