SHAH ALAM – Keputusan sama ada Samirah Muzzafar dan dua remaja akan bebas atau diperintah bela diri atas tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan akan diketahui pada 30 Mei ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan sejak 7 April lalu.
Seramai 57 saksi pendakwaan dipanggil pada prosiding bicara peringkat pendakwaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata, kenyataan saksi pendakwaan ke-50 (SP50), Pakar Forensik Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Prashant Sanberker mengenai teori ‘stage of crime’ bukan hanya keterangan asas semata-mata.
Katanya, pihak pendakwan berhujah mengenai ‘stage of crime’ berdasarkan penemuan dua bentuk berbeza di belakang badan si mati iaitu ‘postmorterm hypostasis’.
“Bentuk itu mengambil masa kosong hingga enam jam untuk wujud seterusnya menjadi kukuh.
“Sekiranya mayat dialihkan, bentuk kedua akan mengikut bentuk yang pertama. Sekiranya si mati mati atas lantai seperti mana dijumpai, hanya akan terdapat satu bentuk sahaja di bahagian belakang badan si mati,” katanya.
Selain Tengku Intan Suraya, pihak pendakwaan turut diwakili Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Nur Sabrina Zubairi.
Namun, pembelaan menerusi peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan apa yang dinyatakan Dr. Prashant sebaliknya hanya pengulangan dalam bukti daripada beliau yang mayat dialih kerana hypostasis dan rigor mortis.
“Pihak pendakwaan menyatakan bukti daripada SP50 pada ‘stage of crime’ berdasarkan kepada gambar dan diperkukuhkan dengan fakta bahawa beliau pernah melawat tempat kejadian.
“Malah, SP50 memiliki gambar pada 4 Oktober 2018 sebelum bedah siasat kedua dilakukan pada 8 Oktober 2019. SP50 hanya datang ke tempat kejadian pada 4 Oktober dan 5 November iaitu kira-kira sebulan selepas bilik dibersihkan oleh pemiliknya (Samirah).
“Justeru, tiada penemuan dibuat pada ‘stage of crime scene’ seperti teori dalam laporannya,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan, Samirah Muzaffar, 47, dan dua lagi remaja serta seorang lagi yang masih bebas warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian Nazrin, 47.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya dekat sini pada 13 Jun hingga 14 Jun 2018. -KOSMO!ONLINE