LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kemenangan 4-2 ke atas Chelsea awal pagi semalam hadir tepat pada masanya untuk memberikan keyakinan kepada pemain sekali gus menjadikan mereka kekal bermotivasi untuk merebut kelompok empat terbaik seterusnya mara ke saingan Champions League (Liga Juara-Juara).
Kejayaan ke atas Chelsea itu menamatkan badi kekalahan The Gunners dalam tiga aksi terdahulu dan kini mengumpul 57 mata, menyamai kutipan Tottenham Hotspurs di tangga keempat.
Bagaimanapun, tugas getir terus menanti Arsenal yang dijadualkan menentang Manchester United, diikuti perlawanan bertemu West Ham United sebelum membuat perhitungan dengan Tottenham Hotspurs pada pertengahan bulan depan.
“Saya fikir ia akan membantu pasukan kerana kemenangan ini akan memberikan keyakinan. Saya juga harap pemain mampu meningkatkan keyakinan terhadap diri mereka sendiri.
“Perlawanan itu ditentukan oleh kami sendiri. Saya katakan kepada pemain, jika mahu beraksi di Liga Juara-Juara, kami perlu selalu tampil dengan aksi sebegini dan cuba memenangi perlawanan.
“Paling menggembirakan saya adalah cara pemain bertindak balas dengan kekalahan lalu. Memenangi derbi London di gelanggang lawan adalah sesuatu yang cukup hebat dan kami berjaya melakukannya,” jelas Arteta.
Pada aksi tersebut, Eddie Nketiah berjaya meledak dua gol buat Arsenal, manakala dua lagi gol masing-masing disumbangkan oleh Emile Smith Rowe dan Bukayo Saka. – AGENSI