LIVERPOOL – Pengendali Manchester United, Ralf Rangnick menyifatkan kekalahan 0-4 kepada Liverpool di Anfield awal pagi semalam menunjukkan mereka ketinggalan agak jauh dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang memalukan.
United nyata gagal menyaingi The Reds ketika Mohamed Salah meledak dua go diikuti satu jaringan oleh Sadio Mane dan Luiz Diaz sekaligus menyaksikan The Red Devils bolos sembilan gol dalam dua pertemuan liga musim ini selepas turut dibelasah 5-0 pada pertemuan pertama, Oktober lalu.
Rangnick juga tidak dapat menafikan bahawa prestasi skuad kendalian Jurgen Klopp terlalu ke depan berbanding para pemainnya dan turut merasakan bahawa United sedang berdepan fasa kemerosotan yang sangat hebat.
“Ia mengecewakan dan memalukan. Kami perlu terima bahawa ketika ini Liverpool sudah berada enam tahun lebih ke depan berbanding kami.
“Jurgen Klopp hadir dan membuat perubahan yang cukup besar, bukan hanya untuk pasukan tetapi untuk kelab dan bandar itu. Itu juga yang perlu kami lakukan pada jendela perpindahan selepas ini,” kata Rangnick.
Ketika anak buahnya melepaskan gol seawal minit kelima menerusi jaringan Diaz, Rangnick tidak merasakan keperluan untuk menukar formasi, namun gol itu nyata mengubah perlawanan.
“Di babak pertama, kami tidak cukup bagus, kami tidak cuba merebut bola. Di babak kedua, kami agak baik di beberapa posisi, jadi saya fikir perubahan formasi di awal permainan tidak akan mengubah apa-apa.
“Kami akan membina pasukan ini semula dengan enam, tujuh ataupun 10 pemain baharu akan datang,” jelasnya.
– AGENSI