fbpx

Tiada pekerja OKU dipukul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Tiada pekerja orang kelainan upaya (OKU) sebuah cawangan rangkaian outlet makanan, ditumbuk dan gajinya dipotong selepas pelanggan enggan membayar susulan kesilapan menghantar makanan seperti yang ditularkan pengguna laman Twitter.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan awal menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis itu mendapati tiada pergaduhan yang menyebabkan berlaku perbuatan pukul memukul antara pekerja OKU dgn tiga pekerja lain.

Katanya, pengadu (majikan mangsa) turut menafikan dia berada di outlet tersebut di Bukit Jelutong dan memukul pekerja OKU tersebut, semalam.

“Pada tarikh tersebut, pengadu telah ditugaskan menjaga outlet di Star Avenue di sini.

“Petugas yang dikatakan OKU tersebut yang berumur 31 tahun telah membuat laporan polis menafikan bahawa dia dipukul dan gajinya dipotong sebagaimana tular di laman twitter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, petugas itu juga menyatakan bahawa dia tidak mempunyai kad OKU dan telah bekerja di outlet tersebut selama lapan tahun.

Justeru, Mohd. Iqbal menjelaskan, pihaknya sedang mengesan pemilik twitter berkenaan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Roshaza Azeera ditalian 011-39865660 atau 03-55202222,” ujarnya.

Terdahulu, tular di laman Twitter apabila seorang wanita memuat naik tangkap layar berhubung aduan kejadian OKU di restoran terkenal dipukul gara-gara tersalah hantar makanan kepada pelanggan.

Dalam pada itu, outlet makanan tersebut dalam kenyataannya turut menafikan berlakunya kejadian tersebut dengan tindakan segera telah dilakukan dengan memangil semua kakitangan yang terlibat untuk siasatan dalaman semalam.

“Hasil siasatan menyeluruh, kami mengesahkan bahawa dakwaan itu tidak benar iaitu tiada insiden pukul pada tarikh, masa dan tempat dinyatakan selain pemotongan gaji seperti yang dinyatakan dalam posting tersebut.

“Bagaimanapun, terdapat tindakan kakitangan tertentu yang telah melanggar polisi kami. Tindakan sewajarnya telah diambil terhadap individu tersebut,” katanya.

Pihaknya turut menzahirkan terima kasih kepada segelintir masyarakat setempat yang mengunjungi outlet Bukit Jelutong untuk memahami lebih lanjut situasi itu.

“Kami percaya penjelasan secara bersemuka yang diberikan adalah jelas. Kakitangan berkeperluan khas tersebut telah bekerja selama lapan tahun dan akan terus mengembangkan kerjayanya bersama kami,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI