SHAH ALAM – Walaupun bergelar orang kelainan upaya (OKU) bukan penghalang kepada seorang pemandu grab untuk tidak menunaikan tanggungjawab membayar zakat pendapatan.
Niyaz Naathan Vellasamy, 45, berkata, kedua-dua kaki lemah akibat penyakit polio susulan demam panas ketika berusia lapan bulan menyebabkan dirinya sukar bergerak tanpa bantuan kerusi roda.
Kata mualaf sejak 2012 itu, dia menunaikan zakat sebagai tuntutan dalam menyempurnakan rukun Islam setelah mempunyai kewangan mencukupi.
“Kita sudah mampu dan harus bayar zakat. Meskipun jumlahnya (zakat pendapatan) tidak besar namun saya mahu jadi insan yang memberi dan bukan menerima.
“Lagipun, cara ini menunjukkan rasa syukur saya terhadap nikmat dikurniakan Allah,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis Iftar Cahaya Aidilfitri di Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC), di sini, malam tadi.
Pada majlis tersebut, Grab Malaysia menyumbang dana wakalah berjumlah RM66,484.72 bagi Program Kasihku Zakat Selangor kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menyantuni golongan yang memerlukan di Selangor.
Kata Niyaz, dia telah bekerja sebagai pemandu grab sejak 2018 dengan penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatannya adalah baik.
“Walaupun fizikal saya kurang namun mental saya kuat dan cuba berdikari dalam memperbaiki hidup dengan sebelum ini bekerja sebagai penyelia khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta.
“Ramai pelanggan juga menyatakan lebih selamat apabila saya memandu kerana lebih mematuhi had laju lalulintas,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, rakannya, Mohd. Saini Ngatah, 41 memberitahu, pendapatannya sebagai pemandu grab yang mencecah RM5,000 sebulan mendorongnya mengeluarkan zakat untuk keberkatan rezeki.
“Ini membuktikan sektor ekonomi gig mampu membantu seseorang menjana pendapatan secara produktif dan fleksibel,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE