fbpx

Sindiket jual kad ATM tumpas, 10 ditahan termasuk pemilik kad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anbalagan (dua kanan) menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Serdang, hari ini.

SERDANG – Polis berjaya menumpaskan sindiket penjualan kad mesin juruwang automatik (ATM) untuk dijadikan keldai akaun dengan penahanan 10 individu termasuk dua wanita dalam tempoh tujuh hari bermula 14 April lalu.

Kesemua suspek warga tempatan berusia antara 25 hingga 39 tahun itu ditahan di sekitar Puchong dan Gombak oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, menerusi serbuan itu pihak polis berjaya merampas lapan unit telefon bimbit, 38 keping kad ATM, 20 keping kad sim MYTPG (Singapura), wang tunai RM3,957, sebuah kereta perodua axia, sebuah beg silang, dua dompet, dua keping sampul surat kurier dan sekeping kad pengenalan milik warga tempatan.

“Tangkapan dibuat hasil risikan yang diperoleh daripada pemilik akaun bank dalam kertas siasatan (yang sedang disiasat) telah menyerahkan kad ATM miliknya kepada kumpulan sindiket berkenaan.

“Lima suspek yang ditangkap mengaku menjadi pengutip kad ATM daripada pemilik akaun dan sebagai orang tengah (runner) kad ATM yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar kad tersebut kepada sindiket, manakala lima tangkapan merupakan pemilik kad ATM yang dirampas semasa serbuan,” ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, dekat sini hari ini.

Menurutnya, semakan rekod Commercial Crime Intelligence System (CCIS) ke atas 38 kad ATM yang dirampas mendapati terdapat 10 kes melibatkan mangsa ditipu dalam urusan pinjaman wang tidak wujud dan juga penipuan tawaran kerja membabitkan jumlah kerugian RM245,000.

Jelas beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif menjalankan kegiatan membeli dan menjual kad ATM di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak awal tahun 2021 yang mana mereka mmperoleh kad tersebut daripada pengedar (dealer) di sekitar Lembah Klang dengan harga antara RM1,500 hingga RM1,800.

“Kemudian sindiket terbabit dipercayai menjual kad ATM yang dikutip itu kepada sindiket yang menjalankan penipuan dengan harga RM2,500 bagi setiap keping kad.

“Hasil siasatan mendapati pemilik kad ATM itu juga disyaki menjual kad mereka kerana terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam media sosial seperti Facebook yang meminta mereka menyerahkan kad ATM kepada sindiket sebagai cagaran.

“Selain itu, mereka juga menjual kad ATM kepada sindiket sama untuk memperoleh wang antara RM500 hingga RM800 sekeping dan didapati ada juga dalam kalangan mangsa yang menjual tidak mengetahui kad ATM mereka akan digunakan untuk tujuan penipuan oleh sindiket,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI