KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa semua pengusaha rumah jagaan dan kebajikan kanak-kanak swasta agar mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, sehingga hari ini, pihaknya telah mengedarkan lebih 500 surat pekeliling kepada rumah jagaan swasta untuk tujuan pemutihan.
Siti Zailah berkata, perkara itu telah dilaksanakan sejak empat tahun lalu namun, sikap sambil lewa pengusaha premis rumah jagaan terbabit menyebabkan mereka masih belum mendaftar dengan JKM sehingga kini.
“Kita telah mengaktifkan semula penguatkuasaan bagi tujuan operasi pemutihan dalam jangka masa ditetapkan. Jika pihak berkenaan masih tidak mengikuti syarat, maka mereka akan dikenakan tindakan.
“Kita mahu setiap pusat jagaan dan pusat asuhan kanak-kanak berdaftar supaya pegawai penguat kuasa JKM dapat memantau keadaan semasa di sana selain dapat melaporkan kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Muqarrabun, Peringkat Negeri Kelantan 2022 di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kes penderaan seorang kanak-kanak Sindrom Down, Bella yang berusia 13 tahun.
Kisah Bella mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali, 31 yang dipercayai tidak berdaftar di bawah JKM.
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, pendaftaran rumah jagaan di bawah JKM juga dapat memastikan supaya semua pengasuh mempunyai latihan yang sewajarnya terutama dalam aspek penjagaa kanak-kanak.
Menurutnya, sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar lebih prihatin dalam memilih pusat jagaan dan rumah kebajikan kanak-kanak yang berlesan melalui portal JKM bagi mengelakkan sebarang risiko. – KOSMO! ONLINE