ALOR GAJAH – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa Muhammad Arif Danieal Muhammad Razlan, 13, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Kuala Linggi menghala ke Sungai Baru.
“Sebelum kemalangan berlaku, sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah sama ingin membelok ke simpang sebelah kanan dan telah berhenti sambil memberikan lampu isyarat kenderaan.
“Mangsa bagaimanapun gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Arshad berkata, hasil pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi mendapati, kemalangan berpunca daripada faktor kegagalan mengawal kenderaan.
“Kita telahpun meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE