PETALING JAYA – Tindakan seorang penyanyi lelaki mengasari bekas isterinya mengundang padah apabila dia akan dituduh di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penyanyi berusia 45 tahun itu kini direman sehingga esok selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes keganasan rumah tangga.
“Suspek kini direman dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, penyanyi tersebut telah ditahan di kediamannya di sekitar Kota Damansara di sini semalam.
Berdasarkan keterangan kes, kira-kira pukul 2.29 petang semalam, bekas isteri suspek yang berusia 27 tahun telah ke rumah suspek untuk mengambil anak lelaki mereka sebelum berlaku perselisihan faham kerana wanita berkenaan enggan bergambar dengan suspek.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Sek 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017. – KOSMO! ONLINE