BEIJING – Sepasang pengantin di China menjadi perhatian netizen kerana bukan sahaja mempunyai usia yang jauh berbeza, bahkan latar belakang mereka turut disifatkan sebagai berlainan darjat, lapor laman berita Suara.com.
Menurut laman berita Sohu News, pengantin perempuan berumur 39 tahun sedangkan usia pengantin lelaki baru 25 tahun.
Pengantin perempuan dahulunya merupakan seorang gelandangan. Dia mencari sesuap nasi dengan mengutip dan menjual botol.
“Dia mula dikenali sebagai gelandangan selepas gambarnya dirakam oleh orang ramai,” demikian menurut Sohu News.
Berbeza dengan pengantin lelaki, meskipun baru berusia 25 tahun, dia berasal dari sebuah keluarga kaya-raya dan merupakan pengarah di sebuah syarikat yang mempunyai ramai pekerja.
“Kisah ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen di China. Ada antara netizen yang percaya ia adalah cinta sejati, namun sebilangan yang lain sangsi rumah tangga mereka akan dapat bertahan,” kata Sohu News.
Video majlis perkahwinan pasangan itu menjadi tular di media sosial China, Weibo. Majlis tersebut diadakan secara serba mewah di sebuah hotel terkemuka tempatan pada 22 Mac lalu. – Agensi